Mereka yang menghabiskan lebih banyak masa di hadapan televisyen lebih berisiko untuk mendapat penyakit diabetes dan jantung, walaupun menonton hanya dua jam sehari, menurut satu kajian. Setiap hari, penduduk Amerika Syarikat menghabiskan purata kira-kira lima jam menonton televisyen, manakala penduduk Australia dan Eropah antara 3.5 jam hingga 4 jam sehari, kata penyelidik yang diketuai Frank Hu, di Sekolah Perubatan Harvard. Untuk fakta, rakyat Malaysia pula mempunyai purata jam menonton TV yang lebih tinggi, iaitu antara 4 hingga 5 jam sehari. “Mesejnya mudah. Mengurangkan masa menonton TV adalah satu langkah penting untuk mengurangkan risiko diabetes dan penyakit jantung,” kata Hu. Mereka yang duduk di hadapan televisyen kurang melakukan senaman dan banyak memakan makanan tidak sihat, katanya.