Mungkin ramai yang kurang jelas dengan isu pasangan
suami isteri rakyat Malaysia yang bekerja di Sweden ditahan reman kerana
didakwa memukul anak mereka yang berumur 12 tahun kerana tidak
menunaikan solat.
Ramai yang hairan mengapakah kes seringan itu - memukul tangan anak yang enggan bersolat - boleh menjadi isu besar yang mencabar hubungan diplomatik Malaysia-Sweden.
Sebenarnya, semua ini berpunca daripada sistem perundangan negara Scandinavia itu yang begitu tegas dalam menjaga kebajikan kanak-kanak.
Sehingga kini terdapat empat kes membabitkan keluarga muslim di Sweden yang dijatuhi hukuman penjara kerana didapati bersalah 'mendera' anak-anak mereka.
Sweden melaksanakan Akta Perlindungan Kanak-kanak (Child Protection Act) yang ketat. Seperti dijelaskan Kedutaan Sweden di Malaysia, semua bentuk hukuman dera (corporal punishment) terhadap kanak-kanak termasuk memukul, menampar, mencubit, menarik rambut dan merotan dianggap sebagai menyalahi undang-undang (illegal) dan menyalahi norma masyarakat setempat.
Sweden adalah negara pertama mengharamkan hukuman fizikal terhadap kanak-kanak dalam semua keadaan - sama ada di rumah atau di sekolah - mulai 15 Mac 1979. Sejumlah 24 negara telahpun melaksanakan undang-undang yang serupa sejak daripada tarikh tersebut.
Menurut Seksyen 5, Swedish Penal Code, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara antara 6 bulan dan sepuluh tahun bergantung kepada merit sesuatu kes.
Latar belakang Swedish Penal Code
Sweden melaksanakan undang-undang yang keras terhadap ibu bapa yang memukul atau menampar anak berdasarkan kepada keputusan kajian projek yang besar dilaksanakan sekitar 1970-an. Kajian tersebut dilaksanakan kerana terdapat banyak kes penderaan terhadap kanak-kanak dan anak-anak dalam negara tersebut terutama di kalangan pendatang asing dan rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan.
Kajian menunjukkan ibu bapa yang berada di negara tersebut terlibat dalam pelbagai bentuk penderaan fizikal terhadap anak-anak mereka. Mengikut kajian tersebut, 75 peratus ibu dan 63 peratus bapa yang tidak mempunyai pekerjaan di luar rumah terlibat dalam penderaan anak-anak. Bapa sering mendera anak-anak lelaki manakala ibu pula mendera anak perempuan terutamanya di kalangan keluarga imigran.
Sebelum undang-undang jenayah penderaan kanak-kanak dilaksanakan, kerajaan Sweden menggunakan pelbagai inisiatif membendung kes penderaan ini. Antara kegiatan yang dilaksanakan adalah memberi khidmat nasihat kepada para ibu bapa mengenai pendidikan anak-anak terutamanya di kalangan masyarakat yang menghadapi masalah kewangan termasuk imigran yang menetap di negara tersebut.
Khidmat nasihat dan pelbagai kegiatan dilaksanakan oleh kerajaan Sweden bagi membendung kegiatan penderaan anak-anak masih tidak berkesan.
Berdasarkan suasana sedemikian maka para pengkaji menegaskan bahawa menghentikan kesemua bentuk penderaan kanak-kanak sama ada pukul atau menampar merupakan salah satu cara terpenting untuk membendung penderaan fizikal kanak-kanak.
Hasil kajian tersebut maka pada 1979, kerajaan Sweden meluluskan undang-undang berkaitan penderaan kanak-kanak iaitu memukul dan menampar kanak-kanak adalah kes jenayah. Sweden merupakan negara pertama di dunia meluluskan undang-undang tersebut .
Pada 1993, kerajaan Sweden melantik agensi penyiasat dan perisik bagi mempertahankan hak kanak-kanak dan memelihara kepentingan mereka. Para penyiasat ini diwajibkan mematuhi hak kanak-kanak sepertimana digariskan oleh Konvesyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1989.
Memandangkan Sweden adalah negara sekular yang terlalu liberal maka sukar bagi mereka memahami perasaan dan pemikiran orang beragama yang terikat dengan nilai dan budaya keagamaan. Suasana begini amat sukar bagi umat Islam untuk mendidik anak-anak dalam hal ehwal keagamaan mengikut tradisi yang diamalkan masyarakat Islam dalam negara Islam.
Pendidikan dalam Islam
Istilah pengajaran secara amaran seperti memukul tangan atau menampar yang menjadi tradisi ibu bapa mendidik anak-anak degil dan yang sering melakukan kesalahan merupakan tradisi kebanyakan ibu bapa dalam negara Islam.
Masyarakat sekular tidak akan menitik berat soal pendidikan keagamaan kerana mereka memisahkan agama dengan kehidupan seharian. Oleh itu anak-anak mereka bebas menentukan corak hidup mereka asalkan tidak melanggar undang-undang yang dilaksanakan oleh negara.
Bagi umat Islam, kehidupan di dunia mempunyai kaitan dengan hari akhirat. Oleh itu ibu bapa amat prihatin terhadap pendidikan agama untuk anak-anak mereka. Jika anak-anak mereka ingkar melaksanakan sembahyang atau amalan yang diwajibkan oleh Allah maka ini satu perkara yang serius.
Umat Islam yang berada di negara sekular sepatutnya memahami undang-undang dan tradisi negara tersebut. Latihan keagamaan bukan semestinya dengan menggunakan pendekatan yang keras. Penerangan, penjelasan terhadap kepentingan agama dalam kehidupan manusia serta hikmah-hikmah melaksanakan hukum-hakam Allah adalah cara pendidikan yang paling praktikal bagi anak-anak masa kini terutamanya yang berada di negara sekular.
Kefahaman dan kesedaran terhadap agama amat penting diserap dalam jiwa dan pemikiran anak-anak supaya mereka tidak mudah dipengaruhi oleh budaya masyarakat yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.
Ketika berada dalam negara sekular barat maka pepatah Melayu yang mengatakan "Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung" perlu menjadi landasan kehidupan. Undang-undang dan tradisi negara tersebut sepatutnya difahami dan diteliti supaya tindakan tidak disalahtafsirkan.
Comments
Post a Comment