Penggunaan masjid sebagai tempat bagi menjalankan urusan akad nikah bukanlah perkara baru dan ia sudah lama diamalkan oleh orang Islam di negara ini. Ulama di negara ini juga tidak melarang masjid digunakan untuk tujuan kebaikan seperti akad nikah kerana keberkatannya sebagai lambang institusi keagamaan.
Lazimnya, sebelum majlis akad nikah dijalankan, imam yang mengetuai upacara itu akan menerangkan tanggungjawab suami kepada isteri dan turut menyampaikan tazkirah pendek bagi manfaat pasangan yang baru mendirikan rumah tangga serta anggota keluarga mereka yang hadir pada majlis berkenaan. Ini bermakna majlis akad nikah turut dijadikan perantara untuk penyebaran dakwah di kalangan mereka yang hadir.
Justeru, sebarang tuduhan yang cuba menyalah tafsir penggunaan masjid sebagai tempat menjalankan urusan akad nikah adalah tidak wajar. Penggunaan masjid juga tidak harus disamakan dengan amalan penganut agama Kristian yang menjalankan majlis perkahwinan di gereja. Majlis akad nikah bukannya dijalankan di hadapan mimbar, tetapi di ruang dewan solat atau dewan lain dan tidak sama dengan upacara penganut agama Kristian yang melangsungkannya di bahagian depan di dalam gereja.
Masjid hanya berperanan sebagai tempat bagi melangsungkan akad nikah, seperti ruang tamu rumah, dewan dan lain-lain. Ia tidak sama sekali boleh menyebabkan umat Islam terpesong akidah atau wujud keadaan yang boleh menjadikannya sebagai amalan salah. Justeru, apa yang diperkatakan oleh seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh baru-baru ini bahawa menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang daripada amalan Rasulullah adalah tidak betul.
Beliau juga mendakwa kononnya perbuatan melangsungkan akad nikah di masjid meniru penganut Kristian yang bernikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka. Timbul persoalan, apa bezanya melangsungkan akad nikah di masjid dengan majlis kenduri atau majlis lain sempena Maulidur Rasul atau sambutan kebesaran Islam lain, sedangkan majlis berkenaan turut dihadiri masyarakat setempat yang terdiri daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak?
Kita bersetuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa penggunaan masjid sebagai tempat untuk upacara akad nikah tidak bertentangan dengan Islam dan boleh diamalkan, selagi ia mengikut peraturan yang ditetapkan agama.
Umumnya, masyarakat Islam di negara ini sememangnya sedia memahami bahawa masjid adalah tempat beribadat dan mempunyai larangan tertentu yang harus dipatuhi. Selain perlu menjaga aurat dan pakaian serta pergaulan antara lelaki dan perempuan, wanita juga tahu mereka tidak boleh masuk ke masjid ketika dalam haid. Amalan menjalankan urusan akad nikah di masjid kini sudah menjadi kebiasaan kerana selain memberkati ikatan pasangan yang melangsungkan perkahwinan, ia juga menggalakkan hadirin supaya mengunjungi rumah Allah, sekali gus mengimarahkan lagi masjid. Ini penting kerana peranan masjid pada hari ini semakin hari semakin berkurangan di kalangan masyarakat dan hanya dilihat sebagai tempat beribadat tanpa melihat peranannya dengan skop yang lebih luas.
Oleh itu adalah wajar pelbagai program kemasyarakatan dijalankan di masjid, termasuk majlis akad nikah, di samping kegiatan keagamaan, dengan sokongan persatuan penduduk dan ahli kariah. Pada zaman Rasulullah SAW, masjid menjadi pusat kegiatan masyarakat dan kini masjid boleh digunakan bagi menggerakkan aktiviti untuk membantu membendung gejala sosial yang dihadapi golongan remaja seperti penyalahgunaan dadah, merempit dan keruntuhan akhlak.
sumber: Berita Harian, utusan
benda baik pula yang nak dipertikaikan, benda buruk yang terang terangan xmo pula dipertikaikan...
ReplyDeletemembaca di sini.Allahualam
ReplyDelete