Friday, February 10, 2012

Kajian Buktikan Berpuasa Boleh Bantu Pesakit Kanser




Penyelidikan awal terhadap tikus yang menghidapi kanser menunjukkan berpuasa boleh melemahkan tumor dan membantu meningkatkan keberkesanan kemoterapi.


Belum diketahui sama ada pendekatan sama boleh memberi kesan kepada manusia, atau sama ada ia selamat atau tidak, tetapi penyelidik menganggap keputusan tersebut menggambarkan fokus kajian baru yang berpotensi meningkatkan respons terhadap rawatan kanser.

Dalam eksperimen terhadap tikus, 'gabungan kitaran berpuasa serta kemoterapi menunjukkan ia lebih berkesan atau jauh lebih berkesan berbanding kemoterapi semata-mata', kata penulis laporan, Valter Longo yang juga profesor gerontologi dan sains biologi di Universiti Southern California (USC).

Longo dan rakan-rakannya pada 2008 menyiarkan hasil penyelidikan yang menunjukkan berpuasa melindungi sel normal daripada kesan kemoterapi. Penyelidikan itu tertumpu kepada sejenis kanser dan sejenis ubat kemoterapi.

Kajian terbaru yang disiarkan dalam jurnal Science Translational Medicine meluaskan skop penyelidikan tersebut untuk menunjukkan berpuasa menjadikan sel kanser lebih lemah dan merangkumi beberapa jenis kanser pada tikus.

Jenis kanser yang dikaji termasuk kanser payu dara, melanoma, glioma dan neuroblastoma manusia. Semua kanser yang dikaji menunjukkan berpuasa digabungkan dengan kemoterapi meningkatkan peluang untuk hidup, memperlahankan pertumbuhan tumor dan/ atau membataskan penyebaran tumor.

"Kami tidak tahu sama ada berpuasa berkesan pada manusia atau tidak, tetapi buat masa ini, pesakit kanser harus dilarang berpuasa meskipun mereka boleh meminta nasihat doktor mengenai kemungkinan itu," kata Longo.

Pada 2010, kajian terhad melibatkan 10 pesakit kanser yang cuba menggabungkan kitaran berpuasa dengan kemoterapi mendapati mereka merasakan mereka kurang mengalami kesan sampingan daripada rawatan itu.

 sumber: utusan malaysia

Entri-Entri Berkaitan.....

1 comments:

  1. Perut itu rumah segala penyakit manakala puasa itu raja segala ubat..

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails