Rasanya, semua orang dah tahu parlimen dah pun dibubarkan pada hari ini. Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pembubaran Parlimen sekitar pukul 11.30 pagi tadi bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan dalam tempoh 60 hari.So, apa proses seterusnya setelah parlimen dibubarkan?
- SPR mengumumkan tarikh pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari
- SPR mengumumkan tarikh penamaan calon
- SPR mengumumkan tarikh pembuangan undi
- SPR mengumumkan tempoh berkempen
- SPR membawa kertas-kertas undi ke pusat pengiraan undi
- SPR melakukan proses pengiraan undi
- SPR mengumumkan keputusan pilihan raya
- SPR mengumumkan pembentukan kerajaan negeri dan pusat berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding
Proses pilihan raya
Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil bermula dengan pengeluaran writ pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis akan diwartakan, menetapkan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi.
Hari penamaan calon
Hari penamaan calon merujuk kepada hari yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi calon-calon mengemukakan kertas-kertas penamaan untuk bertanding dalam pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Kertas-kertas penamaan boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong atau salah seorang daripada mereka. Kertas-kertas penamaan mestilah dikemukakan di antara pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada hari penamaan.Kertas-kertas penamaan akan dipamerkan dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan bantahan. Dalam kes di mana seorang calon sahaja yang dicadangkan, Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon itu menang tanpa bertanding.
Pertaruhan
Pertaruhan berjumlah RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi Negeri perlu diserahkan kepada Pegawai Pengurus sebelum atau pada hari penamaan calon. Calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 daripada jumlah undi yang diperoleh oleh semua calon yang bertanding di dalam sesuatu bahagian pilihan raya berkenaan.Penggunaan simbol
Seseorang calon yang mewakili sesuatu parti politik boleh menggunakan simbol parti jika dia mendapat kebenaran bertulis daripada ketua parti berkenaan. Calon-calon bebas perlu memilih mana-mana simbol yang telah disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, untuk dicetak pada kertas-kertas undi.Kempen
Suruhanjaya Pilihan Raya telah merangka peraturan-peraturan khas untuk berkempen, seperti yang tertera di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002. Kempen hanya boleh dimulakan selepas selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar Suruhanjaya mempunyai kuasa di bawah perkara 3(5) Akta Pilihan Raya 1958 dan perkara 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan-pasukan Penguat Kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen, jika difikirkan perlu. Unit ini dianggotai oleh Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, seorang wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah, seorang wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang wakil tiap-tiap parti/calon yang bertanding.Pegawai Penguat Kuasa bertanggungjawab kepada Pegawai Pengurus, dan tugas pasukan ini ialah untuk memantau bahan-bahan kempen, ceramah-ceramah pilihan raya dan perhimpunan umum, bagi memastikan peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya tidak dilanggar. Suruhanjaya Pilihan Raya juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat Pusat/Negeri/bahagian-bahagian pilihan raya bagi memberikan penerangan kepada parti-parti politik, calon-calon atau ejen-ejen dan petugas-petugas parti mengenai undang-undang dan peraturan pilihan raya. Senarai perkara yang mesti dipatuhi dan dilarang semasa pilihan raya disediakan, dan ini perlu diambil ingatan oleh calon-calon dan petugas-petugas parti.
Hari mengundi
Hari mengundi adalah merujuk kepada hari pemilih-pemilih membuang undi. Secara rasmi hari mengundi bermula dari selepas 12.00 tengah malam dan berakhir dengan pengumuman keputusan pilihan raya. Namun demikian, waktu membuang undi ditetapkan dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang di seluruh Malaysia. Bagi kawasan-kawasan pedalaman, unit-unit bergerak digunakan bagi memastikan kelancaran membuang undi. Selain dari itu, waktu membuang undi mungkin berbeza antara daerah-daerah. Suruhanjaya Pilihan Raya biasanya akan mengeluarkan notis untuk memaklumkan orang ramai tentang perkara-perkara pilihan raya seperti:-- tarikh mengundi;
- lokasi tempat mengundi;
- waktu mengundi di semua tempat mengundi;
- lokasi pusat pengiraan dan penjumlahan undi.
sumber: wikipedia, utusan malaysia, sinar harian, www.cikguayu.my, http://notapismpks.blogspot.com
Comments
Post a Comment