Skip to main content

[Salam 'Idulfitri Dari Encik Billy] - Jom Baca Adab-Adab Menyambut Hari Raya ‘Idulfitri





Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan ‘Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.


Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara‘ dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.

Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?


Adab pada malam Hari Raya:
Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh Syara‘ untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti
  • mendirikan sembahyang fardhu secara berjemaah,
  • melakukan sembahyang sunat, bertakbir,
  • memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa- apa jua bentuk perkara yang berkebajikan.

Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya‘ban.


Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.

Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan ‘Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta‘ala:
 "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Baqarah : 185)

Adab di Pagi Raya:
  1. Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas dan Al-Fakih bin Sa‘d Radhiallahu ‘anhum bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.
  2. Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja‘far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:  "Bahawasanya Shallallahu ‘alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya).  
  3. Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad) 
  4. Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad). 
  5. Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan: Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak." Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi‘en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak." 
  6. Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari‘atkan di dalam Islam. 
  7. Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii‘timadkan.(Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)

Ziarah Menziarahi

Amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.


Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu‘ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam!" Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita."
(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.


Meraikan Tanpa Melampaui Batas Syarak

Di samping kita meraikan dengan amalan yang bertepatan maka janganlah dicemari kesucian hari raya dengan perbuatan yang melanggari batas-batas syarak. Kemungkinan di kalangan kita mempunyai hasrat untuk menjemput rakan taulan, jiran, saudara mara dan tetamu istimewa dengan mengadakan rumah terbuka.

Sebagai contohnya, jika kita sebagai tuan rumah janganlah hendaknya menghidangkan hiburan yang melampaui batas kepada para tetamu sehingga melalaikan urusan fardu yang lain. Dilarang juga aktiviti yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, memperagakan pakaian yang menjolok mata serta mendedahkan aurat.

Hidangan kepada tetamu juga mestilah mengikut panduan Islam dengan menyediakan hidangan atau juadah yang halal, mengelakkan melakukan pembaziran ketika mengadakan rumah terbuka dan tidak wajar mengasingkan antara golongan kaya dan meminggirkan golongan miskin. Hiaskanlah wajah dengan senyuman ikhlas lagi menawan agar tetamu yang hadir merasa disambut dengan penuh sopan.


Perayaan juga bukanlah alasan untuk kita mengabaikan kewajipan solat lima waktu. Di sebalik kesediaan kita menerima para tetamu janganlah hendaknya menjadikan alasan tidak sempat lagi untuk bersolat akibat terlalu sibuk dan gembira melayan jemputan yang tidak putus tiba. Betapa ruginya hari kemenangan ini menjadikan kita lalai daripada ibadat fardu semata-mata kerana menganjurkan acara rumah terbuka, ingatlah bahawa solat itu tiang agama.

Berkunjung dan membalas ziarah ke rumah orang lain menjadi aktiviti yang sangat digalakkan. Aidilfitri tidak akan lengkap tanpa adanya acara ziarah menziarahi ke rumah-rumah kenalan mahupun saudara mara. Adab yang utama ketika menikmati keenakan makanan bersama-sama orang lain agar golongan yang muda hendaklah mendahulukan orang tua.

Sebaik-baiknya jangan berdiam diri sahaja kerana begitu asyik menikmati hidangan yang pelbagai rasa. Wujudkan situasi eratnya hubungan sesama Muslim kerana ikhlas kepada Allah SWT. Dibolehkan untuk berbual-bual dan bercakap perkara-perkara yang menggembirakan dan bermakna. Saling mempelawa atau menjemput tetamu lain menikmati juadah dan berbicara agar nampak mesra dan tiada beza.

Ingatlah bahawa sebagai tetamu kita juga perlu menjaga batasan peribadi diri, menghormati dan menghargai kesediaan tuan rumah menyambut kehadiran kita.

Akhlak terpuji menjadi intipati utama ketika meraikan perayaan Aidilfitri. Kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan kita dan pernah bersabda yang bermaksud "Takutlah kepada Allah SWT di mana sahaja engkau berada dan ikutlah suatu keburukan itu dengan kebaikan, maka kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan tadi, juga bergaullah dengan seluruh manusia dengan budi pekerti yang bagus." (Hadis riwayat Tarmizi).

Betapa pemurahnya anugerah Allah SWT kepada umat Islam kerana memberi limpahan rahmat yang tidak terhitung oleh kita serta kemurahan ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang taat dan sentiasa ikhlas melaksanakan syariat Islam meskipun ketika saat meraikan Syawal sebagai bulan kemenangan untuk seluruh umat Islam. Hiaskanlah hari perayaan ini dengan adab yang bertepatan dengan ajaran Islam.


p/s: Selamat Menyambut Hari Raya ‘Idulfitri buat semua pengunjung Billy Info. Encik Billy menyusun sepuluh jari memohon beribu kemaafaan andaikata bersalah/tersalah dengan korang semua sepanjang mengendalikan blog ini!

sumber: http://www.brunet.bn, utusan malaysia, berita harian

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

15 Kepercayaan Masyarakat Melayu Mengenai Tanda-Tanda Alam

Ada banyak kepercayaan masyarakat Melayu lama yang berhubungan dengan tanda-tanda alam. Ramai yang masih mempercayainya dan tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai kepercayaan tahayul. Tanda-tanda alam itu boleh memberi gambaran maksud negatif atau positif. 1. Kalau kupu-kupu masuk ke dalam sesebuah rumah, itu menandakan ada orang jauh yang akan datang ke rumah.

Ayahku Kekasihku - Kisah Benar Anak Bercinta Dengan Ayah Sendiri

Cerita di bawah ni dah lama disiarkan oleh Harian Metro, tapi tak kisahlah, nak share jugak. Cerita yang membuktikan tiada apa yg mustahil jika nafsu Syaitan menguasai diri. Semoga Allah melindungi anak cucu keturunan kita. Marilah kita sentiasa berdoa supaya kita sentiasa diberikan hidayah olehnya dan dijauhi oleh pekara-perkara yang tak baik. Ikuti pengakuan Lina kepada wartawan Metro Ahad, ZAINUDDIN ZAIN dan FUAD HADINA YAACOB mengenai hubungan yang dilalui bersama bapanya, ahli perniagaan berusia 43 tahun. KUALA LUMPUR: Kes ‘haruan makan anak’ bukan lagi sesuatu yang mengejutkan dalam masyarakat hari ini, tetapi kejadian ayah bercinta dengan anak sendiri mungkin sukar diterima. Bagaimanapun itulah yang berlaku ke atas Lina, 21, yang dijadikan kekasih oleh ayahnya sejak empat tahun lalu sehingga dia kini hamil enam bulan.

Petua Hilangkan Dakwat Pen Pada Pakaian

BILA pakaian anda terutamanya yang berwarna putih terkena dakwat pen memang haru biru jadinya. Silap-silap baju yang baru dibeli pun anda akan buang. Pun begitu, jangan pening kepala ya. Femina ada petuanya untuk menghilangkan dakwat berkenaan, yang penting anda berusaha. 1) Air limau Titiskan air limau yang dicampurkan dengan garam pada bahagian baju yang kotor terkena dakwat. Tunggu seketika dan gosok perlahan-lahan. Kemudian cuci baju itu seperti biasa.