Skip to main content

Peristiwa Isra' Mikraj : Perbezaan Pendapat Bukanlah Satu Isu Yang Perlu Diperbesarkan




Setiap tahun apabila tiba tarikh 27 Rejab, umat Islam di Malaysia secara khususnya akan meraikan peristiwa kembara agung perjalanan Israk dan Mikraj Baginda Nabi Muhammad SAW. Ia difahamkan sebagai perjalanan malam Nabi dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan terus menerus menembusi dinginnya langit menuju sebuah puncak yang disebut Sidratul Muntaha.


Perkara ini seperti yang diterangkan di dalam al-Quran yang bermaksud; "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".( Surah al-Isra':1) 


Perbezaan Pendapat


1) Tempat permulaan peristiwa Israk Mikraj

Suatu riwayat seperti dipetik Fakh al-Din al-Razi dalam Mafatih al-Ghaib, menyatakan bahawa Israk Mikraj tidak dimulai dari dalam Masjidil Haram, melainkan dari rumah Ummu Hani binti Abi Talib. Yang lain lagi menyatakan, bahawa mulai Israk Mikraj itu adalah dari sebuah ruangan dalam rumah Abu Talib r.a.

Beberapa kenyataan Islam menyebutkan bahawa Israk Mikraj itu ditempuh hanya dalam satu malam. Perjalanan yang panjang ini dimulai setelah selesai waktu Isyak dan diakhiri pada waktu fajar menyingsing.



2)  Perjalanan Roh atau Jasmani

Demikian jauhnya jarak perjalanan ini, maka Aisyah dan Muawiyah berpendapat bahawa Israk Mikraj merupakan perjalanan rohani dan bukan perjalanan fizik jasmani.Menurut Aisyah, roh Nabi Muhammad bergerak membelah semesta alam untuk berjumpa dengan Allah, sementara jasadnya bersemayam di bumi.

Pendapat itu ditolak oleh jumhur ulama yang mengatakan Israk Mikraj melibatkan jasmani rohani Nabi Muhammad secara sekali gus.

Bagaimana mungkin benda seperti jasad manusia boleh berjalan lebih cepat daripada gerakan cahaya. Menurut teori Einstein, jika ada benda berjalan secepat cahaya, maka benda itu akan terurai dan hancur lebur.

Kemudian jumhur ulama berkata, bahawa Israk Mikraj adalah untuk dipercayai dan diyakinkan, bukan untuk diperdebatkan.


3) Tarikh Peristiwa Israk Mikraj

Bilakah terjadi peristiwa Israk Mikraj itu? Beberapa riwayat menjelaskan pendapat yang berbeza. Ulama yang berpendapat bahawa peristiwa Israk Mikraj itu terjadi pada hari Jumaat, 27 Rejab. Inilah pandangan paling popular di kalangan umat Islam.

Namun sebahagian lain berpendapat peristiwa Israk Mikraj itu terjadi di awal dan bukan di akhir bulan Rejab.
Menurut pendapat al-Harbi, seperti dipetik oleh al-Qurtubi dalam Al-Jami'il lil Ahkam al-Qurtubi, Israk Mikraj terjadi pada 27 Rabiul Awal. Sama juga pendapat seperti yang dikatakan oleh az-Zuhri dan Urwah.

Ibnu Abbas berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal. Sebabnya pada hari, tarikh dan bulan itulah Rasulullah dilahirkan, diangkat menjadi Nabi, di Israk Mikrajkan, berhijrah ke Madinah dan meninggal dunia.

As-Suddi pula berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi pada bulan Zulkaedah (Ibnu Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah).



4) Tahun Peristiwa

Bukan hanya bulan yang diperselisihkan, melainkan juga tahun peristiwa itu. Ada ulama berpendapat bahawa Israk Mikraj terjadi satu tahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Sebahagian lain berkata bahawa Israk Mikraj diperkirakan terjadi 18 bulan sebelum peristiwa hijrah.

Sementara yang lain lagi berkesimpulan bahawa Israk Mikraj terjadi ketika Khadijah masih hidup.

Menurut Yunus Ibnu Bukair, pasca Israk Mikraj, Khadijah masih sempat melaksanakan solat. Ini kerana Israk Mikraj terjadi pada tahun kelima dari kenabian, beberapa bulan sebelum Khadijah meninggal dunia. Bahkan seperti dikutip oleh Thabathaba'i, Ibnu Abbas berkata bahawa Israk Mikraj terjadi pada tahun kedua dari kenabian.

Intisarinya bermacam pendapat, yang berkata tahun ketiga kenabian, 10 tahun tiga bulan dari kenabian, 12 tahun dari kenabian, satu tahun lima bulan sebelum hijrah, satu tahun tiga bulan sebelum hijrah, dan enam bulan sebelum berhijrah.


Sebab Perbezaan Pendapat

Mengapa berlaku perselisihan? Sebabnya, ketika peristiwa Israk Mikraj berlaku tidak ada orang yang mencatat dan merekodkannya secara betul. Rasulullah pun dikisahkan tidak boleh membaca dan menulis.

Mengenai hari, tarikh, bulan, dan tahun peristiwa Israk Mikraj di atas sepenuhnya didasarkan pada ingatan para sahabat, dan bukan pada data rakaman tertulis.



Perbezaan Pendapat Bukan Satu Isu

Walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang tarikh sebenar kejadian menakjubkan itu, ia tidak perlu diperbesarkan. Apa yang lebih penting ialah bagaimana umat Islam dapat menghayati peristiwa tersebut lalu berusaha untuk menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Malah jika diperhalusi ia bukti keagungan dan kekuasaan Allah SWT yang telah menjalankan hambanya pada malam hari bermula di Mekah lalu singgah di Masjidil Aqsa di Palestin dan dibawa naik merentasi tujuh petala langit sehingga sampai bertemu Allah SWT.

Pada pagi-pagi lagi keesokan harinya, Baginda Rasulullah SAW sedia bersama penduduk Mekah untuk menceritakan peristiwa kembara agung itu, walaupun ramai yang menolak untuk mempercayainya.


Bukti Kekuasaan Allah

Sememangnya jika manusia berfikir dengan panduan akal semata-mata, tiada sebarang teknologi yang boleh membawa manusia naik ke angkasa raya sepantas itu. Namun begitu apabila ia dikaitkan dengan kebesaran dan keagungan Allah SWT yang Maha Berkuasa mencipta segala sesuatu, ia bukanlah perkara yang mustahil. Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri dibawa dengan kenderaan khusus yang dikenali sebagai buraq untuk naik mengadap Allah SWT bukannya dengan kudrat sendiri.


Selain daripada itu, Allah SWT turut memaparkan bukti kekuasaan-Nya dengan menunjukkan kepada Rasulullah SAW dan umat Islam secara umumnya tentang beberapa peristiwa menakjubkan. Antaranya diperlihatkan akan sekelompok manusia yang perut mereka besar seperti rumah, di dalamnya ada cacing yang boleh dilihat daripada luar perut. Lalu Malaikat Jibril yang menemani Rasulullah SAW sepanjang perjalanan mengatakan itulah siksaan kepada pemakan riba' yang diharamkan.

Rasulullah SAW juga diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang menanam tanaman dan menuai hasilnya pada hari yang sama. Dikatakan kepadanya itu adalah balasan baik bagi orang yang berjihad di jalan Allah SWT. Ada pula sekelompok manusia yang menghantukkan kepala ke dinding lalu pecah dan bercantum semula kemudian dihantuknya lagi sehingga pecah dan bercantum semula sebagai balasan azab Allah SWT terhadap orang yang malas dan meninggalkan fardu sembahyang.


Peringatan dan Pengajaran

Ibadah solat yang difardukan secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Israk dan Mikraj jelas menunjukkan betapa ia tidak boleh dipandang ringan. Ini berbeza dengan ibadat yang lain seperti zakat dan haji yang diwahyukan menerusi perantaraan Malaikat Jibril AS.

Oleh itu dalam apa jua kegiatan seharian yang dilakukan, solat sama sekali tidak patut diabaikan. Malah pelaksanaan ibadat solat merupakan antara kriteria sesuatu pekerjaan dinilai sebagai ibadat dan diberi ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Selain itu penglibatan umat Islam dalam transaksi kewangan dan perbankan yang berteraskan riba' juga adalah diharamkan. Malah pengharamannya sama dengan dosa minum minuman keras dan makan makanan yang diharamkan seperti babi dan lain-lain.

Dari sudut pandang yang lain, kesanggupan umat Islam untuk berjihad melawan hawa nafsu, berjihad memerdekakan diri daripada belenggu kemiskinan dan berjihad usaha dan tenaga untuk membantu sesama Islam masih di takuk lama.

Buktinya saban hari ada sahaja berita berkaitan jenayah rasuah, buang bayi, bersekedudukan dan berzina yang menghiasi dada-dada akhbar tempatan. Ia sekali gus menampakkan bagaimana segelintir umat Islam tidak berdaya walaupun untuk melawan nafsu serakah sendiri yang merupakan musuh paling utama. Mereka seolah-olah sudah tidak mempercayai kewujudan Allah SWT sehingga tanpa segan silu berbuat maksiat sesuka hati.

Peristiwa kembara agung junjungan besar Nabi Muhammad SAW jelas membuktikan betapa Allah SWT tidak pernah alpa dan lalai daripada memerhati setiap gerak perlakuan hambanya, malah berkuasa pula untuk mengenakan azab dan hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan.

Oleh itu, usah hanya bergelak ketawa dengan lawak jenaka yang disampaikan oleh penceramah jemputan ataupun kenyang perut dengan pelbagai juadah berat yang disediakan. Lebih daripada itu sambutan hari kebesaran Islam yang silih berganti sepanjang tahun ini perlu dihayati dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan seharian agar ia benar-benar mencapai matlamat yang diharap-harapkan.

sumber: utusan malaysia, berita harian

Comments

  1. arrayah.info - 28 Rajab – Hari Di Mana Umat Islam Kehilangan Perisainya (KHILAFAH)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

15 Kepercayaan Masyarakat Melayu Mengenai Tanda-Tanda Alam

Ada banyak kepercayaan masyarakat Melayu lama yang berhubungan dengan tanda-tanda alam. Ramai yang masih mempercayainya dan tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai kepercayaan tahayul. Tanda-tanda alam itu boleh memberi gambaran maksud negatif atau positif. 1. Kalau kupu-kupu masuk ke dalam sesebuah rumah, itu menandakan ada orang jauh yang akan datang ke rumah.

Ayahku Kekasihku - Kisah Benar Anak Bercinta Dengan Ayah Sendiri

Cerita di bawah ni dah lama disiarkan oleh Harian Metro, tapi tak kisahlah, nak share jugak. Cerita yang membuktikan tiada apa yg mustahil jika nafsu Syaitan menguasai diri. Semoga Allah melindungi anak cucu keturunan kita. Marilah kita sentiasa berdoa supaya kita sentiasa diberikan hidayah olehnya dan dijauhi oleh pekara-perkara yang tak baik. Ikuti pengakuan Lina kepada wartawan Metro Ahad, ZAINUDDIN ZAIN dan FUAD HADINA YAACOB mengenai hubungan yang dilalui bersama bapanya, ahli perniagaan berusia 43 tahun. KUALA LUMPUR: Kes ‘haruan makan anak’ bukan lagi sesuatu yang mengejutkan dalam masyarakat hari ini, tetapi kejadian ayah bercinta dengan anak sendiri mungkin sukar diterima. Bagaimanapun itulah yang berlaku ke atas Lina, 21, yang dijadikan kekasih oleh ayahnya sejak empat tahun lalu sehingga dia kini hamil enam bulan.

Petua Hilangkan Dakwat Pen Pada Pakaian

BILA pakaian anda terutamanya yang berwarna putih terkena dakwat pen memang haru biru jadinya. Silap-silap baju yang baru dibeli pun anda akan buang. Pun begitu, jangan pening kepala ya. Femina ada petuanya untuk menghilangkan dakwat berkenaan, yang penting anda berusaha. 1) Air limau Titiskan air limau yang dicampurkan dengan garam pada bahagian baju yang kotor terkena dakwat. Tunggu seketika dan gosok perlahan-lahan. Kemudian cuci baju itu seperti biasa.