Idea menggunakan besi katil asrama terbuang bagi menghasilkan set
membuka dan menukar tayar kereta mudah alih membawa tuah kepada lapan
pelajar perempuan Sekolah Raja Perempuan Taayah (Serata) di sini, yang
mengharumkan nama negara apabila menerima anugerah emas Pameran
Antarabangsa Pereka Muda 2012 di Bangkok pada 28 hingga 30 Jun lalu.
Berbekalkan alat dikenali ‘Nutty-Notty’ yang dicipta sejak awal tahun lalu, membolehkan mereka meraih pelbagai pengiktirafan seperti muncul juara pada Pertandingan Anugerah Pencipta Muda Universiti Teknologi Petronas 2011, Ekspo Saintis Muda Perak 2011 (Kategori Inovasi Sekolah Menengah dan Sains), Hari Harta Intelek Negara 2012 (Kategori Inovasi Pelajar Sekolah Menengah) dan Pameran Inovasi dan Penciptaan Kejuruteraan Antarabangsa 2012.
Ketua kumpulan, Nor Ameerah Nawi, 17, berkata, cubaan mereka secara tidak sengaja apabila mendapat idea menjadikan besi katil sebagai ujian untuk mencipta alat itu membuahkan hasil, sekali gus membuktikan pelajar aliran agama juga mampu berfikiran kreatif dan inovatif.
“Kami bangga dapat membuktikan rekaan pelajar sekolah agama juga diterima di peringkat dunia.
“Kami tidak menyangka rekaan yang hanya menelan kos RM30 ini menarik perhatian ramai sehingga meraih pelbagai anugerah pada pertandingan yang kami sertai,” katanya.
Pelajar jurusan pengajian Islam itu berkata, penyertaan di Bangkok adalah pencapaian paling membanggakan, sekaligus mengharumkan nama sekolah dan negara.
Menurutnya, pertandingan di Bangkok penghujung Jun lalu, disertai 522 penyertaan dari sembilan negara iaitu Thailand, Indonesia, Jepun, Hong Kong, Vietnam, Singapura, Taiwan, Filipina serta Malaysia.
“Set ‘Nutty-Notty’ yang direka mempunyai banyak kebaikan kepada pengguna kenderaan terutama wanita. Malah kami yakin alat ini dapat dikomersialkan berdasarkan maklum balas diterima daripada beberapa pihak.
Ketua pasukan, Nor Ameerah memberitahu Nutty-Notty berfungsi sebagai jek dan sepana yang mampu memudahkan proses membuka dan menukar sebiji tayar kenderaan bocor sepantas seminit sahaja.
"Beberapa prinsip Sains seperti pascal dan kimpalan diaplikasi dalam penciptaan Nutty-Notty ini.
"Idea mencipta alatan tersebut tercetus daripada kesedaran kesukaran majoriti pemandu wanita melakukan kerja-kerja membuka dan menukar tayar kereta bersendirian," ujar pelajar aliran Sastera itu.
“Set mudah alih, ringan dan tahan karat itu mampu membantu pemilik kenderaan menggantikan tayar kenderaan dalam tempoh dua hingga tiga minit berbanding enam hingga 12 minit mengikut kaedah biasa,” kata Ameerah ketika ditemui wartawan pada sidang media mengenai kejayaan itu di sekolahnya.
sumber: harian metro
Uisshh pernah terbaca dalam buku teks BM sekolah rendah. Bangga dan rasa nak beli benda ni walaupun mampu bukak nat pki spanar "+". Malangnya tak jumpa2
ReplyDelete