Thursday, May 5, 2011

Profil Osama Bin Laden- Asal Usul, Pendidikan, al-Qaeda, Kematian dan Teori Konspirasi



Asal-Usul Keluarga

Dilahirkan di Riyadh, Arab Saudi pada 1957, Osama bin Laden seorang daripada 54 anak Mohamad Bin Laden, pemilik empayar pembinaan di Arab Saudi dan hartawan yang mempunyai kaitan dengan keluarga diraja Arab Saudi. Ibunya berasal dari Syria.

Pada 1969, bapanya meninggal dunia dalam kemalangan helikopter dan ketika itu Osama berusia 11 tahun dan dipercayai mewarisi kekayaan AS$80 juta (RM236 juta).

Osama, satu-satunya anak lelaki Mohammad daripada isteri ke-10, Hamida al Attas. Ibu bapanya bercerai sebaik beliau dilahirkan dan ibunya kemudian mengahwini Mohammed al-Attas. Pasangan itu mempunyai empat anak dan Osama membesar bersama adik tirinya.


Pendidikan

Beliau dibesarkan sebagai pengikut Wahabi dan memasuki sekolah elit, Sekolah Al-Thager Model, antara 1968 hingga 1976 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti King Abdulaziz dalam bidang kejuruteraan awam tetapi ada sumber memberitahu beliau tidak menghabiskan pengajiannya. Beliau dilihat berminat terhadap aktiviti agama dan jihad serta kerja kebajikan. Beliau juga minat menulis sajak.


Perkahwinan

Pada usia 17, Osama berkahwin dengan isteri pertama, Najwa Ghanem di Latakia. Menurut CNN, sehingga 2002, Osama dikatakan berkahwin dengan empat wanita dan mempunyai kira-kira 25 anak antara 12 hingga 24 tahun.

 


Penglibatan Dalam Kumpulan Radikal Islam

Sekitar 1973, Osama mewujudkan rangkaian dengan kumpulan ekstrim Muslim dan mengembangkan empayarnya menerusi perniagaan pembinaan.

Pada 26 Disember 1979, tentera Soviet menawan Afghanistan, perang yang mengambil masa 10 tahun dan generasi radikal Islam termasuk Osama muncul. Pada 1984, Osama ke Afghanistan untuk berjihad menentang pasukan tentera Soviet. Di sana, beliau memberi bantuan kewangan dan mengetuai 20,000 pejuang Islam yang direkrut di seluruh dunia.


Kedudukannya dalam keluarganya yang kaya membantu dalam meningkatkan profilnya di kalangan pejuang mujahidin. Semasa itu, Osama bekerjasama dengan orang-orang AS yang menyokong ‘perang suci’ melawan Soviet dengan menggunakan wang dan senjata.

Kepulangan Osama ke Arab Saudi disambut dengan pujian dan sumbangan berbentuk derma sebelum dilantik sebagai jurucakap di masjid-masjid.

Tidak lama kemudian, Osama tidak lagi menyokong AS.

“Jika kita membeli barangan AS, kita merupakan rakan sekutu dalam pembunuhan warga Palestin,” katanya dalam satu kaset yang dibuatnya.



Penubuhan al-Qaeda

Empat tahun kemudian, Osama dipercayai menubuhkan al-Qaeda atau pangkalan. Apabila Soviet mengundurkan tenteranya dari Afghanistan pada 1989, al-Qaeda menjadi rangkaian kumpulan pelampau Islam dengan keanggotaan di antara 35 hingga 60 negara serta beribu pejabat di Afghanistan.


Saat yang paling berpengaruh dalam hidup Osama ialah pada tahun 1990, iaitu semasa tentera AS mendarat di Arab Saudi untuk mengusir Iraq keluar daripada Kuwait. Pada 1991, tentera bersekutu diketuai Amerika melancarkan perang bagi menewaskan kependudukan Iraq di Kuwait.

Osama cuba untuk memujuk kerajaan Arab Saudi daripada membenarkan tentera bukan Islam ke negara Nabi Muhammad S.A.W menyebarkan Islam, tetapi kerajaan menyokong AS bagi melindungi industri minyak mereka.

Osama mengisytiharkan jihad terhadap Amerika kerana menempatkan tenteranya di Arab Saudi, yang juga tanah kelahiran dan dua bandar suci umat Islam. Kelantangannya mengkritik pakatan itu membawa padah apabila Arab Saudi menarik kewarganegaraannya.

Arab Saudi melucutkan kewarganegaraan Osama pada 1994 selepas beliau mengeluarkan fatwa mencela Amerika dan keluarga diraja Arab Saudi.

Selepas diusir daripada Arab Saudi, Osama mencari perlindungan di Sudan, sebelum negara Afrika itu bersetuju dengan tuntutan AS dan menyerahkan dia kepada negara asalnya pada tahun 1996.

Bagaimanapun, Arab Saudi enggan menerima Osama kerana bimbang akan berlaku ketidakstabilan di situ dan menyebabkan Osama kembali ke Afghanistan melalui persetujuan oleh kerajaan pimpinan Burhanuddin Rabbani.



Kehidupan Osama di Afghanistan

Di Afghanistan, Osama menjalani kehidupan yang sederhana. Dia akan bangun sebelum subuh untuk menunaikan solat sebelum bersarapan ringkas yang terdiri daripada keju dan roti. Dia juga akan memantau perkembagan terbaru dunia.

Dikatakan, hampir setiap hari Osama dan pengikutnya- daripada negara Mesir, Yemen dan Saudi- akan berlatih taktik serangan seperti melemparkan bahan letupan ke arah sasaran dan menembak musuh khayalan.

Osama juga akan melakukan aktiviti kegemarannya, iaitu menunggang kuda dan mengambil makanan kesihatan - seperti madu yang menjadi kegemarannya- dan pelbagai herba bagi merawat selesema dan penyakit lain.

Di Afghanistan, Osama dikatakan ditemani oleh empat orang isterinya - iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan untuk seseorang lelaki Islam pada satu-satu masa dan dia dianggarkan mempunyai 23 orang anak.



Peristiwa 11 September

Osama dikatakan perancang utama kejadian serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia AS pada 11 September 2001 yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa di New York, Washington dan Pensylvania dan selamanya merampas perasaan penduduk negara tersebut dalam isu keselamatan.

Pada pagi hari itu, 19 pengganas al-Qaeda telah merampas empat pesawat komersil. Setiap kumpulan pengganas itu mempunyai satu juruterbang terlatih. Pengganas-pengganas ini secara sengaja telah menyebabkan dua pesawat (Penerbangan 175 United Airlines dan Penerbangan 11 American Airlines) terhempas ke dalam bangunan World Trade Center di bandaraya New York, di mana satu pesawat telah melanggar bangunan Utara manakala satu lagi pesawat telah melanggar bangunan Selatan. Ini telah menyebabkan keruntuhan dua bangunan tersebut, di samping daripada mengakibatkan kerosakan yang banyak kepada bangunan yang berdekatan.


Tindakan pemimpin kumpulan Al-Qaeda tersebut mencetuskan rantaian serangan AS terhadap Afghansitan dan Iraq serta perang bawah tanah bagi melawan penganut agama Islam yang dianggap sebagai ekstrim serta rombakan secara kesuluruhan terhadap bahagian risikan AS bagi menentang serangan pengganas.

Sebagai tindakan balas, Amerika Syarikat melancarkan perang habis-habisan terhadap pengganas Islam di seluruh dunia. Gerakan ini dimulakan dengan serangan terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan dengan alasan kerajaan Taliban memberikan perlindungan kepada al-Qaeda dan membenarkan wilayah Afghanistan digunakan sebagai markas latihan al-Qaeda serta sebagai tapak pelancaran serangan ke atas kepentingan Amerika Syarikat.

Presiden George Bush juga mengaitkan al-Qaeda dengan Iraq dan menggunakan kaitan ini untuk memberikan alasan untuknya menyerang Iraq dengan menggunakan, antara lainnya, alasan bahawa kerajaan Iraq pimpinan Saddam Hussein telah membantu kumpulan al-Qaeda, walaupun ini kemudiannya terbukti palsu.


Usaha Pemburuan Osama

Mungkin yang menjadi perhatian ialah kemampuan Osama -termasuk kebolehannya untuk bersembunyi- menjadi inspirasi kepada golongan yang dikatakan sebagai pengganas generasi baru.

Sejak kejadian 11 September 2001, Osama sentiasa berada di hadapan daripada usaha untuk menangkapnya - yang mungkin dianggap sebagai satu sejarah paling besar untuk seorang individu. Selepas Taliban menjadi sasaran pengeboman AS, Osama melarikan diri ke kawasan pergunungan yang memisahkan Pakistan dan Afghanistan.

Hanya selang beberapa jam selepas serangan AS terhadap Afghanistan pada 7 Oktober 2001, Osama muncul dalam satu video yang dihantar kepada agensi berita, Al-Jazeera untuk memberi peringatan kepada AS.

“Saya bersumpah atas nama Allah, tidak akan selamat orang yang tinggal di AS sebelum kita dapat hidup di Palestin dan tidak sebelum semua tentera kafir meninggalkan tanah Nabi Muhammad S.A.W,” katanya yang kelihatan lesu.



Kemunculan Osama dalam beberapa siri video

Osama muncul sekali lagi dalam video yang disiarkan oleh Al-Jazeera pada 27 Disember 2001 tidak lama selepas AS mengepungnya di Tora Bora, sebuah gua besar di timur Afghanistan. Beratus-ratus pengikut Al-Qaeda dilaporkan berjaya melarikan diri daripada serangan AS di situ, termasuklah Osama.

Dalam sedekad ini, Osama dan timbalannya, Ayman al-Zawahri telah beberapa kali muncul sama ada menerusi audio atau visual untuk memberi amaran dan komen mengenai apa yang berlaku di sekitar dunia.


Pada November 2001, Osama mengancam Britain, Perancis, Itali, Kanada, Jerman dan Australia kerana memberikan sokongan kepada AS dengan berkata:”Sudah sampai masanya untuk kita berada dalam keadaan sama rata. Anda akan dibunuh seperti mana anda membunuh dan kami akan mengembom seperi mana kamu.”

Osama turut menyeru agar umat Islam untuk bangkit menentang pemimpin Arab Saudi dan Kuwait yang dilihatnya sebagai boneka AS.

Pada tahun 2004, Osama dikatakan mencuba ‘pendekatan baru’ apabila menawarkan ‘gencatan senjata’ kepada negara-negara Eropah yang tidak menyerang negara Islam dan turut menyatakan bahawa AS boleh mengelakkan kejadian 11 September 2001 jika ia berhenti daripada mengancam keselamatan penduduk Islam.

Setelah berdiam untuk sementara waktu, Osama kembali ‘menghantar’ mesej pada tahun 2006 dan kali ini ia lebih ke arah politik.

Pada Januari 2006, Osama yang ‘bercakap’ kepada rakyat AS dan bukannya kepada Presiden AS waktu itu, George W Bush kerana menurutnya, kajian menunjukkan bahawa majoriti rakyat AS mahu tenteranya berundur daripada Iraq.

Osama juga berkali-kali mengatakan bahawa dia bersedia untuk mati dalam perjuangan mengusir Israel daripada Jerusalem dan mengatakan bahawa AS tidak boleh menangkapnya hidup-hidup.



Kematian Osama bin Laden

Pemburuan paling hebat dalam sejarah berakhir dengan kematian Osama Bin Laden, tetapi riwayat hidupnya akan disampaikan dalam pelbagai versi bergantung kepada sumbernya.


Dicerca sebagai individu yang mempunyai personaliti jahat di Barat, Osama disanjung dan dihormati oleh masyarakat Muslim yang menyokong matlamat perjuangan jihadnya yang tidak terbatas terhadap Amerika Syarikat (AS).

Presiden AS, Barrack Obama Isnin lalu (2/5/2011) mengesahkan Osama terbunuh dalam operasi yang diketuai oleh pasukan tentera negara tersebut.


Pasukan tentera rahsia yang membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Pakistan itu terdiri daripada anggota komando elit SEAL Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang diterbangkan khas menyeberangi sempadan dari Afghanistan.

Dalam operasi sulit itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa Pakistan, beberapa helikopter Blackhawk MH-60 yang diubah suai berlepas dengan membawa pasukan SEAL dari Pangkalan Udara Ghazi menuju ke bandar garison Abbottabad, kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Islamabad.

Sejumlah 22 orang terbunuh atau ditangkap selepas tembakan bertalu-talu dilepaskan selama lebih 40 minit, termasuk Osama yang mati akibat terkena dua tembakan di sebelah kiri muka.

Mayatnya dibawa dengan helikopter yang kembali ke pangkalan dan dikebumikan di laut, manakala sebuah helikopter mengalami kerosakan mekanikal dan terpaksa dimusnahkan oleh tentera AS.


Misi Sulit dan Terancang

Jika tidak kerana sasaran bernilai tinggi itu, misi tersebut boleh dianggap sebagai rutin bagi pasukan SEAL Team Six yang sangat terlatih, secara rasminya dikenali sebagai Kumpulan Pembangunan Peperangan Khas Tentera Laut tetapi sebagai DevGru di kalangan penduduk tempatan di pangkalan mereka di Dam Neck, Virginia.


Sasaran kali ini sangat istimewa dan serangan ke atas pekarangan sebuah rumah seluas setengah hektar di Abbottabad itu memerlukan latihan rapi, kerana itu mereka mendirikan pekarangan serupa di Camp Alpha, sebahagian daripada Pangkalan Udara Bagram di Afghanistan.

Operasi latihan diadakan beberapa kali pada awal bulan lepas.

DevGru terletak di bawah Pusat Pemerintahan Operasi Khas Bersama (JSOC), gabungan luar biasa terdiri daripada pelbagai pasukan petugas rahsia dan unit misi khas.

Mereka menjawab langsung kepada Presiden AS dan menjalankan operasi di seluruh dunia berdasarkan arahan sulit Presiden yang berteraskan undang-undang (atau luar batas undang-undang).



Teori Konspirasi 

Apapun, pendedahan berita bahawa Osama terbunuh di pintu depan rumahnya dianggap sebagai sukar diterima menyebabkan teori konspirasi mengenai aktiviti keji Amerika Syarikat bertambah beberapa kali ganda di kalangan penduduk di bandar senyap Pakistan di Abbotabad.

Terletak di kawasan berbukit dipenuhi pokok pain, pinggiran Bilal, kawasan terkenal sebagai bandar tentera di sini adalah tempat terakhir di Pakistan untuk orang ramai membayangkan menjadi tempat persembunyian lelaki ‘paling dikehendaki’ dunia itu.


Malah ada yang menyifatkan pembunuhan Osama itu yang disaksikan sendiri oleh Presiden AS, Barack Obama secara langsung menerusi kaca televisyen dari White House di Washington sebagai pembohongan semata-mata.

Tiada kematian dilaporkan dalam insiden helikopter tentera AS yang terhempas dalam operasi tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada Osama berada dalam helikopter itu atau tidak.

Teori konspirasi menjadi semakin berleluasa di Pakistan dan di seluruh dunia berikutan kegagalan AS menunjukkan bukti mayat Osama yang didakwa mereka telah dibuang ke laut.


Rakyat Pakistan memang gemar dengan pelbagai teori konspirasi, ditambah rasa tidak percaya terhadap hubungan kerajaan dengan sekutunya dalam perang menentang keganasan.

Operasi tentera AS di bumi Pakistan yang berdaulat dan jaraknya hanya dua jam memandu dari ibu pejabat kerajaan serta tentera di Islamabad juga menjadi satu perkara yang memalukan.

Penduduk tempatan pula memberitahu wartawan bahawa mereka tidak pernah berjumpa dengan orang Arab apatah lagi pemimpin tertinggi Al-Qaeda itu yang berasal dari Arab Saudi.

Abbotabad tidak seperti kawasan lain di barat laut kerana kebanyakan penduduk memakai pakaian ala-Barat. Berbeza dengan tempat kelahiran asal Osama di Arab Saudi, wanita dilihat memandu kereta dan tiada siapa yang bercakap kepada wartawan asing pernah melihat warga Arab di sini.


sumber: kosmo, utusan, berita harian, mstar, wikipedia, detiknews

Entri-Entri Berkaitan.....

6 comments:

  1. kesiannya Osama. Semoga dia sntiasa dilindungi kalau masih hidup. haha kelakar la plk komen mcm ni -,-

    ReplyDelete
  2. sedih bce kisah beliau.smoga die sntiase dilindungi.thanx 4 ur info.

    ReplyDelete
  3. osama pejuang islam yang sejati. semoga ALLAH sentiasa melindungi dia. aminn

    ReplyDelete
  4. subhanallah,hebatnya perancangan THE HIDDEN HAND.Tapi,hebat lagi perancangan ALLAH S.WT :)

    ReplyDelete
  5. Allah je maha mengetahui,,, tp menurut aq, rasanya tu plan AS je tu,, diorang kaya, byk duit,,
    bukti, mayatvideo boleh di beli dan direka sehingga penduduk bumi ni percaya,,,

    ReplyDelete
  6. allah saja mengetahui kebenaranya....
    :)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails